Abstrak Kajian: Jurnal Penyelidikan Khazanah Jilid 14, Tahun 2010/2011

 

Kesan Program Perhimpunan Pagi Terhadap Pemantapan Budaya Institut Pendidikan Guru

 

Shamshun Nisa Mohd. Yaacob, PhD, Esah Jali dan Norhana Abu Bakar

IPG Kampus Sultan Abdul Halim, Sg. Petani, Kedah

 

 

Penyelidikan ini bertujuan meningkatkan kualiti guru pelatih melalui budaya Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim (IPG KSAH). Terdapat tujuh Budaya Institut yang telah dijadikan garis panduan bagi membentuk guru pelatih yang berkualiti. Budaya yang dimaksudkan ialah Estetika, Hidup Sihat, Penyayang, Akhlak dan Moral, Kerja Profesional, Kepimpinan dan Budaya Ilmu. Penyelidik mengandaikan bahawa jika Budaya IPG KSAH ini telah diamalkan sepenuhnya oleh guru pelatih, maka guru permulaan akan mempunyai ciri-ciri guru idaman sekolah. Penyelidikan ini telah dijalankan melalui program intervensi iaitu mengadakan perhimpunan pagi bagi tempoh tiga bulan yang dikendalikan oleh guru pelatih secara bergilir mengikut kumpulan akademik. Guru Pelatih dipertanggungjawabkan untuk merancang dan melaksanakan aktiviti sebagai pengisian Perhimpunan Pagi selaras dengan tanggungjawab yang akan dipikul semasa bertugas di sekolah.  Sasaran kumpulan kajian ialah guru pelatih Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan ambilan Januari 2010 dan guru pelatih Kursus Perguruan Lepas Ijazah Ambilan Januari 2010. Keputusan analisis menunjukkan bahawa sampel kajian bersetuju bahawa program Perhimpunan Pagi ini meningkatkan kualiti guru pelatih melalui amalan budaya IPG KSAH.

 

_____________________________________________________________________________________________________________________________________

 

Ciri-Ciri Psikometrik Soal Selidik Kecerdasan Emosi: Aplikasi Model Rasch

 

Zakaria Mohd Arif & Azman Jusoh, PhD

IPG Kampus Sultan Abdul Halim, Sg. Petani, Kedah

 

 

Tujuan utama kertas kerja ini adalah untuk menilai ciri-ciri psikometrik Soal Selidik Kecerdasan Emosi yang diguna untuk mengkaji aspek kecerdasan emosi pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG). Seramai 103 pelajar terlibat dalam kajian. Semakan ke atas ciri-ciri psikometrik Soal Selidik Kecerdasan Emosi dibuat berasaskan kepada model pengukuran Rasch. Ciri psikometrik yang dikaji ialah kebolehpercayaan instrumen, kesesuaian item yang diguna, dan kesepadanan aras kesukaran item dengan tahap kecerdasan emosi pelajar. Secara umum dapatan kajian menunjukkan bahawa kebanyakan item dalam Soal Selidik Kecerdasan Emosi adalah item-item yang boleh dipercayai, berupaya mengukur satu konstruk tunggal dan serasi dengan model pengukuran Rasch. Walau bagaimanapun, masih terdapat item-item yang perlu disemak semula dari soal selidik berkenaan bagi meningkatkan kebolehpercayaan instrumen secara keseluruhan.

 

_____________________________________________________________________________________________________________________________________

 

Meningkatkan Kemahiran Menulis Karangan Bahasa Arab Melalui Kaedah Pembelajaran “SPA”

 

Ridzuan bin Ahmad, PhD

IPG Kampus Sultan Abdul Halim, Sg. Petani, Kedah

 

 

Berupaya membina sebuah karangan Bahasa Arab yang baik merupakan antara matlamat yangingin dicapai melalui proses pengajaran dan pembelajaran Bahasa Arab di peringkat Menengah. Bentuk karangan yang dibina sama ada berpandukan tema yang ditentukan atau berasaskan gambar-gambar tertentu. Melalui ujian pra yang dilakukan, penyelidik mendapati antara faktor utama ketidak upayaan para pelatih membina sebuah karangan Bahasa Arab adalah disebabkan pembendaharaan kata yang terhad, tata bahasa yang tidak tepat dan gaya bahasa yang diinginkan pula mestilah  berciri kesusasteraan yang tinggi. Mengimbau pengalaman silam mempelajari Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, penyelidik mendapati orientasi pengajaran dan pembelajaran  di peringkat permulaan adalah dengan menggunakan bahasa yang mudah dan tepat. Membina ayat dengan mengaplikasi sistem pola ayat merupakan satu teknik pembelajaran yang mudah dan amat bersesuaian di tahap permulaan. Bermula dengan membina ayat-ayat mudah, kemahiran murid terus dikembangkan dan akhirnya berupaya membina sebuah karangan yang bermutu. Dari sini, penyelidik cuba memindahkan pengalaman tersebut ke dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran Bahasa Arab dengan menggunakan Sistem Pola Ayat “SPA” atau “ Tadris al-Lughah Bi Tariqati Anmat al-Jumlah al-Arabiyyah” . Hasilnya, pengkaji mendapati pengajaran dan pembelajaran yang menggunakan “SPA”  berjaya mengurangkan kesalahan tata bahasa  dalam penulisan serta berupaya meningkatkan keupayaan para pelatih membina ayat-ayat Bahasa Arab yang betul.   

 

_____________________________________________________________________________________________________________________________________

 

Kesan Pengalaman Budaya Ke Atas Persekitaran Pembelajaran Fizik

 

Azman Jusoh, PhD

IPG Kampus Sultan Abdul Halim, Sg. Petani, Kedah

 

Prof. Ahmad Nurul Azam bin Mohd Zin

Prof. Zurida bt Ismail

Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia

 

 

Kesan pengalaman budaya ke atas persekitaran pembelajaran Fizik dikaji dengan menggunakan instrumen IPPDKA terhadap 210 orang pelajar Fizik di Kedah. Sebanyak tiga kumpulan kajian dibentuk, iaitu kumpulan eksperimen, kawalan dan placebo. Kumpulan eksperimen diterapkan dengan pengalaman budaya dalam pengajaran Fizik. Kumpulan kawalan menggunakan pendekatan tradisional dan F4PTC. Manakala kumpulan placebo, ialah kumpulan kawalan yang tidak menggunakan pendekatan pengajaran tertentu yang ditetapkan untuk mengajar Fizik. Data kajian dianalisis dengan teknik MANCOVA di mana skor awal ke atas persekitaran pembelajaran dan kebolehan umum pelajar digunakan sebagai covariate kajian. Dapatan kajian menunjukkan bahawa penggunaan pengalaman budaya dalam pengajaran Fizik memberi kesan signifikan ke atas persekitaran pembelajaran Fizik.

 

_____________________________________________________________________________________________________________________________________

 

Amalan Penggunaan TMK Dalam Pengajaran dan Pembelajaran Di Sebuah Sekolah Orang Asli Di Hulu Perak, Grik: Satu Kajian Kes

 

Cheah Chee Keong, Linda Liang Peng Yaep, Salmiah Said dan Siti Hajar Man, PhD

IPG Kampus Sultan Abdul Halim, Sg. Petani, Kedah

 

 

Pendidikan  pada abad  ke 21,  menuntut  warga pendidik menggunakan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK)  dalam proses pengajaran dan pembelajaran (p&p ) agar selari dengan perkembangan pendidikan dunia. Konsep “Pendidikan Untuk Semua” tanpa mengira kaum atau bangsa khususnya kepada orang-orang asli  perlu diberi perhatian yang sewajarnya dalam aspek penerapan penggunaan TMK di dalam kelas. Kajian ini bertujuan mengkaji persepsi guru terhadap amalan penggunaan TMK dalam p&p serta tahap amalan TMK dalam kalangan guru. Reka bentuk kajian ialah explorasi kualitatif dan kajian deskriptif untuk meninjau secara asas amalan TMK oleh guru-guru di sekolah orang asli. Dapatan kajian menunjukkan guru-guru mempunyai persepsi yang positif tentang keberkesanan penggunaan komputer dalam membantu proses pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, kajian menunjukkan amalan penggunaan komputer dalam proses p&p  lebih tertumpu kepada penggunaan bahan pengajaran CD-ROM interaktif yang dibekalkan oleh  pihak Kementerian Pelajaran Malaysia. Pembinaan bahan pembelajaran dan pembelajaran digital adalah terhad disebabkan oleh tahap pengetahuan dan kemahiran guru-guru yang masih pada peringkat “Entry” dan “Adoptation”.

 

_____________________________________________________________________________________________________________________________________

 

Strategi Pembelajaran Aktif Di Bilik Darjah Orang Asli

 

Norain Md Nor, PhD & Esah Jali

IPG Kampus Sultan Abdul Halim, Sg. Petani, Kedah

 

 

Keputusan peperiksaan UPSR  bagi sekolah-sekolah pedalaman  Orang Asli ternyata kurang memuaskan, oleh itu,  Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim telah berusaha untuk menempatkan pelatih di sekolah-sekolah Orang Asli bertujuan untuk membantu guru-guru dan murid-murid di sekolah Orang Asli untuk mengecapi sedikit kejayaan. Perubahan dalam strategi pengajaran dijangkakan dapat mengatasi masalah pembelajaran murid Orang Asli.  Satu kajian telah dijalankan bertujuan untuk mengenal pasti personaliti murid Orang Asli, meneliti kesan personaliti terhadap pembelajaran dan menganalisis kesan strategi pembelajaran aktif terhadap personaliti dan pembelajaran murid Orang Asli. Sampel kajian terdiri daripada murid Tahun Empat dan Tahun Enam di salah sebuah sekolah di pedalaman Perak. Pemerhatian dan senarai semak digunakan untuk mengenal pasti personaliti sampel dalam kajian. Dapatan menunjukkan bahawa kebanyakan murid Orang Asli memiliki ciri-ciri introvert terutama sikap malu, pendiam, kurang yakin diri dan rendah diri. Secara keseluruhan didapati kemampuan murid Orang Asli dalam pembelajaran berada pada tahap lemah dan sederhana dalam ujian mengenal huruf, ujian kemahiran membaca dan kemahiran menulis. Pada minggu ketiga dan seterusnya strategi pembelajaran aktif digunakan dalam pengajaran dan kesan terhadap personaliti dan pembelajaran murid direkodkan. Catatan refleksi guru pelatih dan dapatan daripada pemerhatian menunjukkan bahawa selepas strategi pembelajaran aktif dilaksanakan terdapat perubahan positif dalam aspek sikap, tingkah laku dan pembelajaran murid. Strategi pembelajaran aktif  merupakan model yang meletakkan tanggungjawab belajar ke atas diri murid. Strategi ini telah menimbulkan keseronokan belajar dalam kalangan murid Orang Asli yang menjadi sampel dalam kajian ini.

 

_____________________________________________________________________________________________________________________________________

 

Angels & Devils: The Two Faces Of My PPISMP Students

 

Lee Wai Heng, Ph.D

IPG Kampus Sultan Abdul Halim, Sg. Petani, Kedah

 

 

This action research arose out of my ongoing experiences in teaching a class of foundation programme (PPISMP) students at Sultan Abdul Halim Teacher Education Institute, Sungai Petani. In July 2008, I had been assigned a group of young, post-SPM students, who had made up their minds on becoming mathematics teachers. Over the next two semesters, I continued to be assigned to teach them and found myself drawn into their world with their unique idiosyncrasies. Familiarity soon made them complacent and by the third semester (June-Nov 2009), I had a felt problem at hand. There emerged a clear difference in the way the boys and girls responded to my class – the girls continued to amaze me with their diligence; they were my “angels”. The boys, barring a very small number, were less motivated in class and increasingly playful; these “little devils” were giving me a weekly headache. I was moved to carry out a very simple action to address this growing disparity in their learning habits, hence the birth of this classroom-based action research. While there was some quantitative success indicated by improved means and smaller standard deviation scores, there were interesting insights into the learning relationships that were formed. There were also unexpected lessons and I have more to learn. As they say, the journey to seek the truth (in our classrooms) sets us free (of ignorance).

 

_____________________________________________________________________________________________________________________________________

 

Kesan Kaedah Pembelajaran Masteri Dalam Pengajaran Peribahasa Bahasa Tamil

 

Armum a/l Raju, PJK

IPG Kampus Sultan Abdul Halim, Sg. Petani, Kedah

 

Murid-murid  Tahun Empat sekolah Tamil tidak begitu peka terhadap komponen peribahasa yang telah dipelajari sejak Tahun Satu.  Sikap ini menyebabkan mereka tidak dapat menjawab soalan pemahaman bagi komponen ini dengan berjaya.  Masalah ini menjejaskan pencapaian prestasi dalam ujian Pemahaman Bahasa Tamil secara keseluruhannya.  Justeru pengkaji mencadangkan satu kaedah yang dikenali sebagai Pembelajaran Masteri yang boleh meningkatkan penguasaan murid-murid dalam pembelajaran peribahasa yang dapat membantu mereka memahami dan menjawab soalan pemahaman dengan lebih berkesan.  Kajian ini merupakan satu kajian yang dijalankan di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil , Sungai Petani terhadap murid tahun empat dari dua buah kelas yang sederhana. Kajian ini menggunakan dua kaedah pembelajaran iaitu Kaedah Pembelajaran Masteri dan Kaedah Pembelajaran Konvensional untuk dijadikan perbandingan. Kajian ini bertujuan mengkaji tahap penguasaan komponen peribahasa dalam Bahasa Tamil dalam kalangan murid tahun empat setelah mengaplikasikan Kaedah Pembelajaran Masteri. Maklumat daripada kajian yang telah dijalankan menyokong jangkaan penyelidik.  Ujian t menunjukkan perbezaan signifikan pada aras keertiaan 0.05. Hal ini bermakna murid yang diajar menggunakan Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Masteri mempunyai sikap yang positif terhadap pembelajaran peribahasa berbanding murid yang diajar dengan Kaedah Konvensional. Hasil daripada kajian ini, menunujukkan kesan positif dalam kalangan murid yang menjalani pembelajaran melalui Kaedah Masteri. Setiap konsep yang dipelajari dan dikuasai oleh mereka dapat diaplikasikan dalam situasi harian. Selain daripada itu, murid yang belajar melalui Kaedah Masteri ini lebih bermotivasi dan mempunyai sikap positif untuk mempelajari peribahasa dan mengurangkan perasaan rendah diri dan cepat mengalah. Hal ini  adalah kerana mereka dapat belajar mengikut tahap kebolehan masing-masing dan dapat menguasai pembelajaran yang tertinggal atau tidak difahami serta dapat mengelakkan sikap berputus asa.

 

_____________________________________________________________________________________________________________________________________

 

Permasalahan Praktikum Dalam Kalangan Guru Pelatih KPLI LPBS j-QAF

 

Ustaz Md Zuki bin Hashim

IPG Kampus Sultan Abdul Halim, Sg. Petani, Kedah

 

Kajian ini ialah kajian kes ke atas sembilan orang guru pelatih program KPLI LPBS j-QAF yang sedang menjalani latihan praktikum bagi mengenal pasti permasalahan yang sering dihadapi dan puncanya. Kajian ini diharapkan dapat membantu bagi meningkatkan keberkesanan latihan praktikum melalui penyeliaan berfokus. Data kajian diperoleh daripada analisis ke atas dokumen yang terdiri daripada Buku Rancangan Pengajaran Harian dan portfolio yang disediakan oleh guru pelatih. Dokumen sokongan lain yang dianalisis ialah  Struktur Program LPBS, Modul Interaksi j-QAF dan Huraian Sukatan Pelajaran. Data juga diperoleh daripada temu bual dengan guru pelatih untuk mengenal pasti punca setiap masalah praktikum.  Dapatan kajian ini mendapati enam permasalahan yang sering dihadapi oleh para guru pelatih iaitu kecelaruan dalam penetapan aras bagi hasil pembelajaran, kurang berjaya merancang kepelbagaian teknik pengajaran dan pembelajaran, kurang penerapan kemahiran berfikir, kurang menguasai penulisan refleksi yang bermakna, tiada analisis bermakna setiap ujian yang dijalankan dan kurang mahir dalam penulisan jurnal mingguan yang bermakna. Kajian ini juga mendapati antara punca permasalahan praktikum ialah bimbingan semasa interaksi bersemuka yang kurang berkesan, latihan praktikum dijalankan sebelum sukatan pelajaran kursus perguruan disempurnakan ketika interaksi bersemuka, tiada pendedahan kemahiran belajar dalam struktur kursus, tiada keselarasan format penulisan refleksi pengajaran dan tiada pendekatan yang jelas tentang kaedah penulisan jurnal. Semoga hasil kajian ini dapat membantu guru pelatih untuk mempersiapkan diri dengan ilmu dan kemahiran keguruan yang diperlukan oleh sistem pendidikan arus perdana di Malaysia. Penyelidik mencadangkan penyelidikan lanjutan berasaskan setiap permasalahan yang telah dizahirkan dalam kajian ini.   

 

_____________________________________________________________________________________________________________________________________